Penerokaan berterusan bagi memajukan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah mendatangkan pelbagai kesan kepada
manusia sejagat.
Antara
kesan positif kemajuan ICT kepada masyarakat global ialah dapat
meluaskan aplikasi elektronik dalam kehidupan seharian. Kemajuan ICT
telah memperkenalkan sistem perbankan dan perdagangan melalui aplikasi
elektronik. Hal ini dapat meluaskan jaringan perdagangan dan urusan
perbankan tanpa sempadan masa dan negara. Selain itu, aplikasi
elektronik membolehkan urusan mesyuarat korporat, proses perubatan, dan
pendidikan dijalankan melalui persidangan video melibatkan lokasi dan
negara yang berbeza, tetapi dalam satu masa yang serentak.
Faedah
kemajuan ICT seterusnya ialah penjimatan masa dan ruang. Kemajuan ICT
telah membolahkan penggunaan kertas diminimumkan dalam urusan harian.
Perkembangan ICT membolehkan urusan pejabat, permohonan kerja, dan
pembayaran cukai diurus selia melalui perkhidmatan talian. Hal ini
membolehkan penjimatan ruang penyimpanan dan pemprosesan data sekiranya
dikendali secara manual. Penerokaan pelbagai disiplin ilmu dan
pengetahuan juga terbuka luas dengan kemajuan ICT. Kemajuan teknologi
membolehkan berlangsungnya pendidikan tanpa sempadan kerana aplikasi
internet jalur lebar memungkinkan pelbagai kemudahan muat turun maklumat
dengan keupayaan yang tinggi.
Walau
bagaimanapun, kemajuan ICT ini juga membawa kepada risiko manipulasi
malumat peribadi pengguna. Pendedahan maklumat peribadi seperti nombor
kad pengenalan, nombor kad kredit, dan akaun bank membolehkan penggodam
komputer mencuri maklumat pengguna bagi tujuan penipuan dan
penyelewengan. Selain itu, ada juga pengguna yang terperangkap dengan
iklan palsu hingga melibatkan transaksi kewangan daripada akaun pengguna
tanpa disedari kerana manipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kesan
negative seterusnya ialah masalah penularan propaganda dan kegiatan
antimoral. Teknologi ICT membolehkan penyebaran fitnah, propaganda
ataupun memuat naik gambar-gambar yang menggunakan teknologi super impose hingga
boleh menjejaskan reputasi seseorang pemimpin, menimbulkan panik kepada
sesebuah negara ataupun menjejaskan keamanan dan kestabilan sesebuah
negara. Kemajuan teknologi ini juga kerap disalah guna untuk kegiatan
antimoral seperti penyebaran laman web yang memaparkan aksi ganas serta
perbuatan tidak bermoral yang bertentangan dengan norma, dan nilai
masyarakat sejagat.
Kesimpulannya, kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan dengan cara yang bijak untuk kebaikan masyarakat sejagat.