Isnin, 24 September 2012

Kesan ICT Kepada Masyarakat

                      Penerokaan berterusan bagi memajukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah mendatangkan pelbagai kesan kepada manusia sejagat.
                Antara kesan positif kemajuan ICT kepada masyarakat global ialah dapat meluaskan aplikasi elektronik dalam kehidupan seharian. Kemajuan ICT telah memperkenalkan sistem perbankan  dan perdagangan melalui aplikasi elektronik. Hal ini dapat meluaskan jaringan perdagangan dan urusan perbankan tanpa sempadan masa dan negara. Selain itu, aplikasi elektronik membolehkan  urusan mesyuarat korporat, proses perubatan, dan pendidikan dijalankan melalui persidangan video melibatkan lokasi dan negara yang berbeza, tetapi dalam satu masa yang serentak.
Faedah kemajuan ICT seterusnya ialah penjimatan masa dan ruang. Kemajuan ICT telah membolahkan penggunaan kertas diminimumkan dalam urusan harian. Perkembangan ICT membolehkan urusan pejabat, permohonan kerja, dan pembayaran cukai diurus selia melalui perkhidmatan talian. Hal ini membolehkan penjimatan ruang penyimpanan dan pemprosesan data sekiranya dikendali secara manual. Penerokaan pelbagai disiplin ilmu dan pengetahuan juga terbuka luas dengan kemajuan  ICT. Kemajuan teknologi membolehkan berlangsungnya pendidikan tanpa sempadan kerana aplikasi internet jalur lebar memungkinkan pelbagai kemudahan muat turun maklumat dengan keupayaan yang tinggi.
Walau bagaimanapun, kemajuan ICT ini juga membawa kepada risiko manipulasi malumat peribadi pengguna. Pendedahan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor kad kredit, dan akaun bank membolehkan penggodam komputer mencuri maklumat pengguna bagi tujuan penipuan dan penyelewengan. Selain itu, ada juga pengguna yang terperangkap dengan  iklan palsu hingga melibatkan transaksi kewangan daripada akaun pengguna tanpa disedari kerana manipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kesan negative seterusnya ialah masalah penularan propaganda dan kegiatan antimoral. Teknologi  ICT membolehkan penyebaran fitnah, propaganda ataupun memuat naik gambar-gambar yang menggunakan teknologi super impose hingga boleh menjejaskan reputasi seseorang pemimpin, menimbulkan panik kepada sesebuah negara ataupun menjejaskan keamanan dan kestabilan sesebuah negara. Kemajuan teknologi ini juga kerap disalah guna untuk kegiatan antimoral seperti penyebaran laman web yang memaparkan aksi ganas serta perbuatan tidak bermoral yang bertentangan dengan norma, dan nilai masyarakat sejagat.
Kesimpulannya, kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan dengan cara yang bijak untuk kebaikan masyarakat sejagat.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan